Friday 12 October 2012

A6 Aluminium



DIBANGUNKAN dengan reka bentuk berkonsep ketepatan serta terperinci dan disokong teknologi pemprosesan terpantas, kemunculan iPhone 5 bukan saja dinantikan tetapi ia berjaya menterjemahkan identiti telefon pintar iPhone yang cuba diperkenalkan Apple Inc sejak 2007.

Konsep "lebih nipis, lebih ringan dan lebih pantas" yang ditampilkan siri keenam produk iPhone bukan sekadar tema pemasaran Apple, sebaliknya inovasi untuk produk masa depan.

Kebimbangan kemampuan beroperasi pada saiz lebih nipis dan ringan terjawab menerusi penggunaan cip terbaru A6 untuk keupayaan pemprosesan pantas.
Gajet edisi ini akan mengupas dua ciri utama di sebalik iPhone 5 iaitu reka bentuk dan teknologi cip A6 yang menjadi tunjang kepada kestabilan telefon pintar itu.

Dari segi reka bentuknya, Apple masih mengekalkan saiz kelebaran sama seperti model sebelumnya, tetapi ketinggian iPhone 5 ditambah bagi menyokong paparan skrin lebih besar (menerusi paparan landskap).

Saiz kelebaran 58.6 milimeter (mm), ketebalan 7.6 mm, ketinggian 123.8 mm dan seberat 112 gram menyerlahkan penampilan model terbaru iPhone yang dibangunkan dengan ciri binaan berasaskan aluminium.

Keupayaan jurutera Apple menghasilkan kad nano sim iaitu 44 peratus lebih kecil berbanding mikro sim adalah rahsia di sebalik inovasi termaju yang buat pertama kalinya diperkenalkan pada produk iPhone.
Malah, menyedari keselesaan pengguna memegang model sebelumnya, Apple mengekalkan kelebarannya di mana ia mampu mempengaruhi proses penggunaannya tanpa bimbang perlu bimbang ia terlalu besar apabila dipegang.

Penggunaan cip A6 pada iPhone 5 membuka lembaran baru dalam penerokaan teknologi telefon pintar, seterusnya membuktikan tiada yang mustahil khususnya dalam pembangunan teknologi masa depan.

Malah, Apple turut berjaya menghasilkan penyelesaian selular unik pada iPhone 5, menggunapakai sistem LTE yang mampu menyokong pendekatan penggunaan dua cip iaitu masing-masing bagi tujuan aplikasi suara dan data dengan hanya menggunakan satu cip.

Apabila perbandingan kepantasan dilakukan, cip A6 mempunyai keupayaan kepantasan dua kali ganda lebih cekap berbanding cip A5.

Saranan yang disifatkan realistik bagi memberikan gambaran awal iPhone 5 sebelum ia mula memasuki pasaran tempatan adalah ia menepati keperluan pengguna berdasarkan reka bentuk berkesan bagi tujuan kegunaan harian dipertingkatkan aspek sokongan kepantasan berlandaskan teknologi masa depan.

Berbeza dengan iPhone 4S, model baru iPhone adalah 20 peratus lebih ringan dan 18 peratus lebih nipis.

Kesimpulannya, iPhone 5 menawarkan paparan lebih besar, disokong cip A6 yang pantas, dilengkapi teknologi tanpa wayar terkini dan dilengkapi kamera 8 megapiksel iSight.

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/A6Aluminium/Article

No comments:

Post a Comment